Sabtu, 8 Mei 2010

Mutiara Kata Buat Semua

Sahabat sejati adalah mereka yang sanggup berada di sisimu ketika kamu memerlukan sokongan walaupun saat itu mereka sepatutnya berada di tempat lain yang lebih menyeronokkan...


Semoga kamu mendapat cukup kebahagiaan untuk membuat kamu bahagia, cukup cubaan untuk membuat kamu kuat, cukup penderitaan untuk membuat kamu menjadi manusia yang sesungguhnya, dan cukup harapan untuk membuat kamu positif terhadap kehidupan...

Sahabat terbaik adalah dia yang dapat duduk berayun-ayun di beranda bersamamu, tanpa mengucapkan sepatah kata pun, dan kemudian kamu meninggalkannya dengan perasaan telah bercakap lama dengannya...

Akal itu menteri yang menasihati, hati itu raja yang menentukan, harta itu satu tamu yang akan berangkat, kesenangan itu satu masa yang akan ditinggalkan...


Sesuatu yang baik, belum tentu benar. Sesuatu yang benar, belum tentu baik. Sesuatu yang bagus, belum tentu berharga. Sesuatu yang berharga, belum tentu bagus...

Jangan tertarik kepada seseorang kerana parasnya, sebab keelokan paras dapat menyesatkan. Jangan pula tertarik kepada kekayaannya, kerana kekayaan dapat memusnahkan. Tertariklah kepada seseorang yang dapat membuatmu tersenyum, kerana hanya senyuman yang dapat membuatkan hari-hari yang gelap bertukar menjadi cerah...

Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah. Menyediakan waktu untuk ketawa kerana ketawa itu muzik jiwa. Menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan. Menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan. Menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuatkan dia muda selalu. Menyediakan waktu untuk beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa...


Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan ALLAH...

Kadang-kadang ALLAH sembunyikan matahari dan DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis-nangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya DIA mahu memberikan kita pelangi...

Andai hidup punca perpisahan, biarlah mati menyambungnya semula. Namun, seandainya mati punca perpisahan, biarlah hidup ini membawa erti yang nyata...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata. Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan. Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan. Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu...


Yang indah itu pertemuan, yang manis itu kemesraan, yang pahit itu perpisahan, yang kekal itu hanyalah kenangan...

Teman yang baik adalah adalah orang yang dapat berkata benar kepada kita, dan bukan orang yang selalu membenarkan setiap kata-kata kita...

Jika seseorang itu hadir dalam hidup kamu, dan menjadi sebahagian daripada kamu, tetapi atas sebab-sebab tertentu dia terpaksa pergi, janganlah terlalu sedih, terimalah kenyataan itu dan sekurang-kurangnya dia pernah membahagiakan kamu...

Sesungguhnya, persahabatan itu lebih unggul dari percintaan. Tanpa persahabatan, cinta akan berakhir tetapi tanpa percintaan, persahabatan akan terus kekal...


Cintailah orang yang engkau kasihi itu sekadarnya belaka, barangkali dia akan menjadi orang yang kau benci pada suatu hari kelak. Juga bencilah terhadap orang yang kau benci itu sekadarnya belaka barangkali dia akan menjadi orang yang engkau kasihi pada suatu hari nanti...

Adakalanya kita perlu menangis agar kita tahu bahawa hidup ini bukan sekadar untuk ketawa dan adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menilai mahalnya setitis air mata…

Masihkah ada dendam yang bersisa tika tangan bersentuhan mesra…

Sebuah kebenaran kadangkala mengandungi kesilapan…

Untuk mendapat sesuatu yang besar, kita patut banyak berkorban perkara-perkara yang kecil...


Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan. Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi. Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketengan. Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan. Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan ALLAH. Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan. Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan hati. Ambillah waktu untuk memberi, itu dapat membuat hidup terasa bererti. Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan. Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga...


Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibukakan.Tetapi sering kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan untuk kita...


Seseorang manusia harus cukup rendah hati untuk mengakui kesilapannya, cukup bijak untuk mengambil manfaat daripada kegagalannya dan cukup berani untuk membetulkan kesilapannya...


Dalam hidup, terkadang kita lebih banyak dapat apa yang tidak kita ingini. Dan ketika kita dapat apa yang kita ingini, akhirnya kita tahu bahawa apa yang kita ingini kadangkala tidak dapat membahagiakan kita...


Hiduplah seperti lilin, menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain.


Bermimpilah tentang apa yang ingin kamu impikan, pergilah ke tempat-tempat yang kamu ingin pergi. Jadilah seperti yang kamu inginkan, kerana kamu hanya memiliki satu kehidupan dan satu kesempatan untuk melakukan hal-hal yang ingin kamu lakukan...


Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu selagi kamu tidak melupakan kegagalan kamu dan rasa sakit hati di masa yang lalu...


Doa memberikan kekuatan pada orang yang lemah, membuat orang tidak percaya menjadi percaya dan memberikan keberanian pada orang yang ketakutan...