Puisiku Untukmu

KU PENDAM SEBUAH DUKA

Ku pendam sebuah duka
Kerana tiada siapa yang sudi berbicara
Ku pendam sebuah duka
Kerana ku tak percaya pada sesiapa…
Ku pendam sebuah duka
Kerana ku tak mahu susahkan sesiapa
Ku pendam sebuah duka
Kerana sejak dulu ku sudah biasa…
Ku pendam sebuah duka
Kerana ku yakin ku begini selamanya
Ku pendam sebuah duka
Kerana ku yakin pada kekuasaanNYA…
Ku pendam sebuah duka
Kerana ku percaya suatu masa ku pasti bahagia
Ku pendam sebuah duka
Kerana ku selesa begini selamanya…


KE MANA LAGI

Ke mana lagi inginku pergi
Pergi membawa diri
Setelah apa yang ada menyakitkan hati
Sesudah apa yang dimiliki tiada ertinya lagi…
Ke mana lagi inginku tujui
Tujui menenangkan hati
Setelah hidupku kini kosong dan sepi
Sesudah segalanya tak mampu diperbaiki lagi…
Tuhanku…untuk ke sekian kali
Ku bermohon kepadaMU lagi
KAU kurnialah damai di hati
Agar sisa-sisa hidup ini…
Mampu ku harungi
Dengan penuh warna-warni
Dengan cara dan erti yang tersendiri
Tuhanku… hanya padaMUlah aku menagih simpati…


AIR MATA INI

Air mata yang mengalir di pipi
Tak bisa menceritakan apa yang tersirat di hati
Sedang yang mengalir di hati
Masih jua tak mampu menguraikan kekusutan diri…
Malah tak mungkin akan bererti lagi
Setelah ianya kerap mengalir sepi
Tanpa dapat mampu ku halangi lagi…
Wahai air mata…
Mengalirlah kau selagi masih mampu mengalir
Mengalirlah kau sebelum kau kekeringan lagi
Mengalirlah kau dengan sepenuh hati…
Kerana suatu hari nanti
Aku takkan menangis lagi
Meratapi nasib diri
Kerana kau sudah tiada lagi…


SETELAH

Setelah apa yang terjadi
Kau masih belum mengerti
Walau berkali-kali kau cuba memahami...
Setelah apa yang terjadi
Aku masih seperti ini
Sukar untuk mempercayai…
Bukanku tak menyayangi…
Bukanku tak menghargai…
Tetapi pengalaman yang dimiliki
Mengajarku agar lebih berhati-hati
Malah kau tetap ku kasihi
Walau tidak sepenuh hati
Meskipun tidak sebanyak kasih yang kau limpahi…
Terima kasih kerana masih di sini
Setia dan sabar melayani
Sikapku yang sering bertukar ganti…


YANG TINGGAL

Kasih yang hilang
Ke manakah gerangan?
Rindu yang bertandang
Ke manakah melayang?
Cinta yang kau lafazkan
Ke manakah berterbangan?
Yang tinggal sekarang
Hanyalah kesepian dan kekosongan…
Yang dirasakan sekarang
Hanyalah kesedihan dan kedukaan…
Apa lagi yang ku harapkan
Selain semangat yang berkurangan?
Apa lagi yang ku mahukan
Setelah impianku terlerai di jalanan?
Tiada apa yang ku harapkan…
Tiada apa lagi yang ku impikan…


KENANGAN

Kenangan…
Sakitnya bila diingatkan
Sukarnya untuk dilupakan…
Semakin dicuba untuk dielakkan
Semakin dekat ianya datang…
Kenangan…
Yang manis jadikan ingatan
Yang pahit jadikan pengalaman…
Usah biarkan kenangan meracuni fikiran
Kerana ia akan menghancurkan impian
Malah mungkin memusnahkan sebuah kehidupan…


YANG HILANG

Semangat yang hilang
Di mana inginku carikan?
Jiwa yang kosong
Sampai bilakah akan berterusan?
Impian yang bertaburan
Akan selamanyakah berselerakan?
Cinta yang hilang
Bilakah akan kembali datang?
Kau yang hilang
Adakah pasti akan pulang?
Datanglah semangat
Hadirlah kudrat
Kembalilah sahabat…
Agar dapat ku raih kembali
Kasihmu yang terabai
Agar dapat ku kecapi lagi
Perhatianmu yang terbiar…
Supaya impian kita tercapai
Supaya kebahagiaan dapat kita gapai…


SEMALAM YANG KU TINGGALKAN

Semalam yang ku tinggalkan
Adalah keperitanku di masa silam
Adalah kepedihan yang tak mungkin ku lupakan
Adalah hakikat yang tak dapat ku ubahkan…
Semalam yang ku hindarkan
Adalah sejarah yang menuntut ketabahan
Adalah air mata yang banyak berjuraian
Adalah kesakitan yang sukar disembuhkan…
Semalam yang ku elakkan
Adalah kenangan indah yang tak mungkin berulang
Adalah impian yang tidak kesampaian
Adalah janji yang tak mampu ku lunaskan
Adalah cinta yang tak bisa ku tunaikan…
Semalam yang ku jauhkan
Adalah aku yang tertinggal di belakang
Yang tak punya apa-apa kekuatan
Apatah lagi impian dan harapan…
Semalam yang ku tinggalkan
Yang ada hanyalah aku seorang…


JANGAN

Jangan diucap kemaafan
Andai kesilapan itu akan kau ulang
Usah dipinta keampunan
Jika perkataan itu sekadar ungkapan…
Takkan ku harap perhatian
Jika kau tidakku sayang
Takkan kau ku tinggalkan
Andai sikapmu tak mungkinku tahan…
Namun segalanya di luar keupayaan
Tutur katamu buatku hilang kesabaran
Ternyata ku silap membuat perhitungan
Kau ku sayang tanpa ada persefahaman…
Berikanku ruang
Untukku rungkai segala kekusutan
Berikanku peluang
Agar kasihku padamu penuh keluhuran…


HADIRLAH TEMAN

Padamu bintang inginku bisikkan
Padamu bulan inginku luahkan
Padamu angin inginku serukan
Padamu malam inginku nyatakan…
Aku rindukan kenangan semalam
Aku rindukan teman seperjuangan
Aku rindukan kemesraan dan keakraban
Aku rindukan saat penuh kebahagiaan…
Hadirlah kalian…
Agar dapatku hamburkan
Segala kepedihan dan kesengsaraan
Agar segalanya hilang dari fikiran
Agar segalanya kembali pada kesempurnaan…
Hadirlah teman…
Agar kemanisan itu dapat diulang
Agar antara kita tiada lagi perpisahan
Agar persahabatan akan terus berkekalan
Agar kasih sayang itu akan kekal berpanjangan…


SIMPANKAN RASA ITU

Simpankan rasa itu
Kerana aku tak mahu tahu
Simpankan rasa itu
Kerana aku tak ingin tahu…
Simpankan rasa itu
Jauh ke dasar hatimu…
Simpankan rasa itu
Agar tidak melukai hatiku…
Rasa amarah itu
Simpankanlah ia
Agar tidak mengundang derita
Agar kita sentiasa bahagia…


DI SINI AKU KEMBALI

Di sini aku kembali
Kembali menghuni di sini
Menghuni di teratak yang tak asing lagi
Dengan tujuan yang tak pasti
Dengan hala yang tak diketahui…
Di rumah ini yang ku tumpangi
Akan sampai bilakah nanti?
Di rumah ini yang tersimpan misteri
Misteri kehidupan sehari-hari
Yang sunyi lagi tiada seri
Hanya sepi yang menyelubungi
Dengan jiwa kosong tak berisi…


PRIAKU

Buatmu priaku…
Pria yang pernah membahagiakanku
Pria yang sanggup berkorban untukku
Pria yang tak pernah kenal erti jemu…
Kehadiranmu semalam tidak diundang
Kau ku sambut penuh kebencian
Walaupun dirimu padaku tiada kesalahan…
Priaku…
Aku sendiri tidak menemui jawapan
Mengapakah dirimu aku lontarkan kemarahan
Sedang kau mengasihiku penuh perasaan
Menerimaku dalam apa jua keadaan
Begitu juga dengan insan-insan yang aku sayang…
Padamu aku pintakan kemaafan
Agar diampuni segala kesalahan
Moga aku kau lupakan
Kehidupan baru kau mulakan
Dari jauh aku doakan…


TAKKU HARAP

Damparkan cinta itu di dada pantai
Agar riak rima memecah gema
Sayup-sayup mengiramakan lagu cinta
Bersaksikan pepohon yang melambai…
Hamparkan kasih itu di riba putih pasirmu
Seputih kasihku yang tiada cemarnya
Agar damai itu sentiasa mengalir
Sealir kasihku yang tidak pernah lesu…
Limpahkan ombakmu di setiap penjuru
Selagi degup jantungku yang merinduimu
Seiring denyut nadiku yang resah menantimu…
Takku harap kehadiranmu
Walaupun adakalanya kerinduan itu
Bagai merobek-robek tangkai hatiku
Yang ku pinta hanyalah satu
Agar dirimu dirahmati selalu…


BINTANG DI LANGIT ZAMAN

Bintang di langit zaman…
Kala malam menjamah alam
Sinar bulan menyuluh terang
Keindahan yang tiada tandingan…
Bintang yang bertaburan berkerlipan
Serinya membuai perasaan
Memegun setiap kehidupan
Yang kagum hanya semata-mata kagum
Tanpa terlintas mengucapkan syukur
Akan sampai bilakah ianya gemilang?
Bintang di langit zaman…
Teruskanlah bersinaran
Hingga tiba masa kau menghilang
Untuk mengakhiri dunia akhir zaman…


CINTA

Cinta yang agung adalah…
Cinta Shahjehan pada Mumtaz
Cinta yang suci adalah…
Cinta ibu bapa pada si anak
Cinta yang abadi adalah…
Cinta hamba pada Ilahi
Cinta yang azali adalah…
Cinta kekasih pada kekasih hati
Cinta yang sejati adalah…
Cinta adik pada kakaknya
Semoga dengan cinta
Mengajar kita kaya
Dengan kasih sayang
Dilimpahkan dengan kebahagiaan
Dipancari sinar keceriaan…
Selagi kita masih menghargai dan dihargai
Tiada yang lebih bernilai dari kasih sayang
Kerana hadirnya bukan boleh dijual beli
Hanya yang layak sahaja mampu memiliki…


ANDAI AKU MEMILIKI SEMALAM

Andai aku memiliki semalam
Akanku ubah menjadi hari esok
Agar aku tidak terlewat
Dalam mencipta bahagia
Semoga tiada hati yang terluka
Dan moga aku mampu
Meluahkan apa yang ku rasa…
Tapi…mana mungkin…
Aku tak bisa mengubahnya
Kerana aku tidak memiliki kuasa
Lalu ku biarkan semuanya berlalu tanpa kerelaanku…
Cuma satu yang ku rayu kepadaMU…
Moga sampaikanlah suara dan hasrat hatiku
Pada insan yang amatku rindu
Tapi tiada kesempatan untuk bertemu
Agar dia tahu…
Sebahagian dari hatiku ada padanya…

 
WAJAH ITU

Wajah itu…
Mengapa sering hadir dalam lenaku?
Wajah itu…
Mengapa selalu mengganggu mimpiku?
Riakmu bagai menggambarkan sesuatu
Bibirmu seperti ingin meluahkan apa yang terbuku…
Namun…sehingga detik ini berlalu…
Kau masih jua diam membisu
Kau tetap enggan menyuarakan isi hatimu…
Setiap malam kau mendatangiku
Setiap malam jua aku menantimu
Walau setiap kali itu kau hanya terpaku
Namun kehadiranmu cukup membahagiakanku…
Harapanku agar suatu waktu
Kau pasti akan memberitahu
Rahsia hatimu padaku
Agar dapatku kongsi resah itu
Dan semoga ku juga memiliki kesempatan itu
Untuk menyatakan padamu
Yang aku amat merinduimu…


PERJALANAN SEBUAH KEHIDUPAN

I

Dalam memburu bahagia
Adakalanya terpaksa merempuh sungai derita
Dalam mencipta ketawa
Adakalanya tetap jua menongkah ombak duka
Dalam mengejar cita-cita
Adakalanya tersadung jua batu-batu kecewa…
Kehidupan bukanlah seindah yang disangka
Dalam meneroka masa depan
Hutan belantara dulu yang mesti ditebang
Dalam waktu itu pelbagai dugaan datang menghalang…
Adakalanya kita terus megah mara ke depan
Adakalanya juga kita turut jatuh tersembam…
Dengan kekuatan dan sisa-sisa ketabahan
Kita cuba bangun dengan memaut dahan-dahan kekuatan…
Dari situ kita akan bina keazaman
Untuk terus maju ke depan
Walau apa pun yang akan menghalang…
Namun ada jua yang menyerah pada kekalahan
Sedang kegagalan itu bukanlah penyebab
Hidup menjadi kelam…


II

Sesetengahnya berpegang pada kata bidalan
‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’
Ada masanya dengan kegagalan
Kita akan mencipta kejayaan…
Ada waktunya pula kegagalan jua
Yang hadir dalam akhir kejayaan…
Manakala yang nasibnya telah ditentukan
Kehidupan tetap dihadang dengan kegagalan…
Ketika itu usaha, doa dan tawakal menjadi amalan
Tetapi jika akhirannya tetap kegagalan
Pada siapa harus dipersalahkan?
Adakah semua itu hukum Tuhan
Ataukah takdir yang menentukan
Bahawa hidup ini adalah semata-mata
Untuk menghadapi kegagalan…
Andai ini berterus-terusan
Bagaimana inginku bina kekuatan
Sedang keazaman semakin nipis
Ditelan hari semalam…


III

Bagaimana hendakku roboh
Dinding putus harapan
Walhal kepedihan semalam
Tetap tidak luput dari ingatan…
Pada siapa inginku suarakan kesedihan
Sedangkan tidak semua akan faham
Bagaimana aku ingin fahamkan
Sedang yang mendengarnya tetap tidak akan faham…
Kerana yang difikirkan
Aku mudah mengalah pada keadaan
Apakah hidupku ini hanya untuk dipersalahkan?
Tanpa mampuku bersuara untuk pembelaan?


IV

Hidup ini rupanya tidaklah seindah
Yang dilakarkan dalam lukisan
Adakalanya ia nampak cantik di pandangan
Tetapi hakikatnya hasilnya adalah dari
Pelbagai warna campuran…
Yang terbentuk sebagai satu catan
Dan apabila dilukiskan
Terpulanglah pada mereka yang memandang
Dari pelbagai sudut dan pemahaman…
Andai tercalit sedikit campuran
Maka akan rosaklah lukisan
Dan tiada siapa yang akan sudi memandang…


USAH

Usah ditangisi pada sebuah perpisahan
Andai itu mampu membahagiakan
Usah ditangisi pada sebuah kerinduan
Andai itu mendatangkan kesedihan
Dan usah ditangisi pada sebuah kematian
Andai itu mampu meleraikan penderitaan…


IZINKAN AKU

Izinkan aku berada di sini
Bagi mencoretkan apa yang terbuku di hati
Agar dendam tidak menjadi benci
Yang boleh memusnahkan diri…
Izinkan aku terus begini
Menulis dan terus menulis
Dalam kata madah penuh puitis
Ditemani air mata yang setia menitis…
Izinkan aku terus di sini
Memikirkan malangnya nasib diri
Dengan pengakhiran yang belum pasti
Yang tak mungkin mampu ku gapai lagi…



(Dedikasi buat ‘dia’ yang ku kasihi…)

I

Akukah yang tak mengerti
Erti kasih yang abadi
Kasih yang tetap ada batas yang menanti
Serta ikatan yang menjarakkan kami…
Akukah yang terlewat
Dalam mencipta pertemuan ini
Sedang dalam waktu yang sebegini singkat
Dirinya amat aku kasihi…
Akukah yang tidak sedar diri
Mengasihi dia sepenuh hati
Sedangku tahu dia bukan milik hakiki
Apatah lagi untuk tempoh yang abadi…
Antara kami…
Tetap ada jurang yang membatasi
Walau ku cuba untuk melupai
Namun semakin intim hubungan kami…
Adakalanya aku menyalahi diri sendiri
Kerana tidak pernah serik untuk mengasihi
Walau ada waktunya aku rasai
Aku bagai tidak dihargai…


II

Kehadiranku bagai tidak membawa erti…
Hanya di saat-saat tertentu aku diperlui
Di waktu-waktu yang berbaki
Aku ditinggal dalam sepi…
Tinggallah aku sendiri
Menangisi nasib diri
Kerana terlalu mudah mengasihi
Dan setelah terasa hati
Payah pula untukku membenci…
Sehingga detik ini
Barulah aku benar-benar mengerti
Bahawa apabila mengasihi
Tidak membawa erti
Yang dia pasti dimiliki…
Barulah aku ketahui kini
Bahawa mengasihi tak bererti dikasihi…


PENAKU MENARI LAGI

Penaku menari lagi
Kembali lancar ke kanan dan ke kiri
Menulis penuh seni dan tari
Mencoret apa yang diingini…
Penaku terus menari
Kali ini dengan lebih rancak lagi
Antara realiti dan fantasi
Yang terbuku di mentaliti emosi
Tentang insan di muka bumi
Yang penuh unik dan berperibadi
Yang adakalanya sukar untuk dimengerti….
Penaku menarilah lagi
Agar karyaku terus berisi
Ceritera yang tak pernah mati
Walau dalam hidup yang penuh sunyi
Kerana ia bukan hanya sekadar puisi
Namun adalah hakiki yang pasti…


TEMAN

Teman…
Tika malam aku sering terkenang
Terkenang akan wajahmu yang tenang
Sentiasa manis dengan senyuman…
Teman…
Tidak kira walau dalam apa jua keadaan
Kau sentiasa mempamerkan keramahan
Kemesraanmu menghilangkan keresahan…
Teman…
Kini aku benar-benar merasakan kehilangan
Hidupku bagai tidak berhaluan
Aku disapa kerinduan…
Teman…
Ke manakah kau menghilang
Mengapa kau pergi tanpa pesan
Kenapa kau tinggalkan aku sendirian…
Teman…
Andai ada kata dan perbuatan yang menghiris perasaan
Aku pintakan ribuan kemaafan
Sesungguhnya kau memang ku sayang…


ANDAI SUATU HARI AKU PERGI

Andai suatu hari aku pergi
Usahlah pemergianku nanti ditangisi
Relakanlah ia terjadi
Andai mampu meleraikan derita hati…
Andai suatu hari aku pergi
Janganlah pemergianku nanti dikesali
Kerana ketika ia terjadi
Aku memang telah bersedia untuk pergi
Kembali kepada Ilahi…
Andai suatu hari aku pergi
Tak perlulah pemergianku nanti diratapi
Kerana ketika nyawaku berpisah dari jasad
Insan yang ku kasihi berada di sisi
Menemaniku setiap saat dan waktu
Mengalunkanku dengan kalimah suci
Membimbingku mengucap syahadah
Agar akhir hidupku tidak terpesong dari aqidah
Agar pengakhiran hayatku dalam husnul khatimah…
Andai suatu hari aku pergi…


ANDAI KAU JEMU

Andai kau jemu
Maka datanglah padaku
Akanku tenangkan hatimu
Akanku hilangkan resahmu
Agar hilang jemumu itu…
Tapi…
Andai kau jemu padaku
Maka kau pergilah dariku
Jauhi diriku dan jangan dekati aku
Akanku redha kau lupakanku
Kerana ku tahu
Kau sudah jemu padaku…


PERPISAHAN

Perpisahan…
Haruskah ada perpisahan
Andai hati masih sayang?
Mestikah ada perpisahan
Jika dirimu masihku perlukan?
Memang lumrah kehidupan
Andai mesra diselang pertengkaran
Memang lumrah kehidupan
Andai suka diselang duka
Memang lumrah kehidupan
Andai manja diselang rajuk
Tapi… haruskah ada perpisahan
Sedang ia bukanlah yang dimahu?
Perpisahan…
Itulah keadaan yang paling menyedihkan
Terutama andai tidak direlakan…


MASIHKAH

Masih sayangkah kau padaku?
Masih kasihkah kau padaku?
Masih pentingkah aku padamu?
Masih perlukah aku padamu?
Setelah apa yang berlaku
Setelah apa yang berlalu
Masihkah ada tempatku di hatimu?
Masihkah rasa itu seperti dulu?
Akan sampai bilakah ianya akan berlaku
Akan mampukah untuk kita pertahankannya
Sedang kelopak mesra yang dulunya mekar
Kini telah sehelai demi sehelai gugurnya…
Haruskah aku terus berpaut pada ranting yang rapuh
Kerana suatu masa ku pasti akan jatuh
Tanpa ada yang patuh ataupun jaguh!!


APA YANG KAU TAHU

Apa yang kau tahu
Setelah apa yang berlaku
Kau masih tidak memahamiku…
Apa yang kau tahu
Andai padaku masih kau ragu
Sedang padaku tiada lagi rahsia padamu…
Apa yang kau tahu
Segala yang terbuku dalam hatiku
Pilu yang terbuku kala mata ingin beradu…
Apa yang kau tahu
Sedang apa yang berlaku
Aku masih buntu…
Sebenarnya…
Tiada apa yang kau tahu
Dan aku lebih rela begitu
Dari kau terus mengambil tahu…


SEGALANYA TELAH KU CUBA

Segalanya telah ku cuba
Menurut semua kata
Mencuba untuk memberi bahagia
Walau di hati sendiri tersemat duka…
Segalanya telah ku cuba
Menyapu air mata
Berkongsi derita
Walau air mataku mengalir jua…
Segalanya telah ku cuba
Menjadi insan yang seadanya
Sedang padamu aku tiada istimewa
Hadirku tidak memberi apa-apa makna…
Segalanya telah ku cuba
Walau kesabaran itu telah tiba ke kemuncaknya
Walau ku berusaha mempertahankan tawa bahagia
Walau ku tahu tiada jalan penyudahnya…
Segalanya telah ku cuba
Dengan sedaya upaya
Sedang kemesraan kita bergoyah jua
Dan suatu masa pasti runtuh jua akhirnya…


AKU HANYALAH INSAN BIASA

Aku hanyalah insan biasa
Yang cuba mencari bahagia
Mencari cinta dan cita
Sedang derita merata-rata di jiwa…
Aku hanyalah insan biasa
Yang adakalanya dilanda gundah gulana
Hadirnya mengasak-asak minda
Dan aku tersungkur jua…
Aku hanyalah insan biasa
Yang adakalanya tak mampu menyorok rasa
Dan air mataku mengalir jua
Walau berkali-kali ku cuba menyekanya…
Kerana aku hanyalah insan biasa…
Kerana aku hanyalah insan biasa…


PENA SETIA

Penaku yang setia
Hari ini aku mencarimu
Untuk menulis lagi
Penaku yang setia
Kaulah teman suka dan duka
Sanggup berkongsi pelbagai cerita…
Penaku yang setia
Hanya padamu ku curahkan rasa
Rasa yang penuh dengan rahsia
Penaku yang setia
Padamu ku tanamkan percaya
Kerana kau yang lebih setia…
Penaku yang setia
Walau kau tidak mampu berbicara
Namun ku tahu kau pasti memahaminya…
Penaku yang setia
Izinkanku terus menulis
Melakar kata yang tiada siapa memahaminya…


BUKAN LAGI

Kau bukan lagi seperti dulu
Aku bukan lagi seperti dulu
Kita bukan lagi seperti dulu…
Antara kita ada jurang yang terbina
Terbina dari satu luka…
Luka yang hanya kita rasa
Luka yang tiada ubatnya
Luka yang tiada sembuhnya
Luka yang meninggalkan parutnya…
Hanya kerana apa?
Hanya kerana kita tiada persefahaman
Hanya kerana kita tiada keserasian
Hanya kerana kita tiada kesabaran
Hanya kerana kita ikutkan perasaan…
Masa terus berlalu
Dan perhubungan kembali seperti dulu
Namun tiada hati yang dapat menipu
Dari mengingati peristiwa itu
Kemesraan pun kehabisan madu…
Kita cuba meraihnya
Namun ia semakin menjauhi kita
Lalu kita membiarkannya
Berlalu ditelan masa…


DEMI

Demi sebuah bahagia
Aku rela tempuhi derita
Demi sebuah bahagia
Aku rela hadapi segalanya…
Demi membahagiakan dia
Aku rela sabar dengan karenahnya
Demi kerana mereka
Aku rela korbankan keluarga…
Demi kerana semua
Aku rela telan sengsara
Demi kerana semua
Aku ketepikan segala rasa…
Demi kerana siapa?
Demi kerana mereka…
Mereka yang ku kasihi tanpa ada nilainya
Mereka yang menjeruk aku dalam pelbagai rasa
Mereka yang adakalanya membuatku bagai tiada harganya…
Demi sebuah bahagia…
Aku terpaksa mengorbankan salah satu darinya
Aku terpaksa memilih antara kedua-duanya
Maka akhirnya aku tiada berdaya...


KU BAWA SAMPAI MATI

Rupanya kehidupan ini
Tak seindah yang diimpikan…
Pengorbanan takkan bermakna
Jika hanya berbekalkan kasih dan sayang…
Kejujuran dan keikhlasan dipandang ringan
Keakraban hanya menjadi mimpi indah
Yang takkan berulang…
Akhirnya yang kecundang
Hanyalah aku seorang…
Kerana kematian semangat juang
Dalam memburu impian
Dan meneruskan kehidupan…
Derita yang dirasakan tak mampu diubatkan
Rasa terkilan yang tercalar gurisnya kekal di dalaman…
Air mata yang menitis ke pipi
Alirannya deras menuju ke hati…
Seksanya kerana mengasihimu sepenuh hati
Kerana tiada ku sangka hubungan kita begini akhirnya…
Semua rasa itu biarlah ku simpan sendiri
Akanku bawa sampai mati…


HARI ITU

Di hari persandinganmu
Aku melihat keayuanmu
Sedang bibirku kelu
Dengan sejuta rasa menyesakkan kalbu…
Aku tahu kau ku rindu
Tetapi untuk mendekatimu aku tak mampu…
Apatah lagi untuk menatap anak matamu…
Semua itu membuatku rasa sayu…
Dalam diam aku rasai kehilanganmu…
Kehilangan segala kenangan manis suatu masa dulu
Kehilangan semangat dan harapan…
Mana bisa kau tahu
Kerana menjadi contohku adalah dirimu
Kejayaanmu ku sanjung seiring budimu…


PUISI UNTUKMU

Puisi untukmu…
Ku titipkan di angin lalu
Kala diri ingin beradu…
Di saat kelam menggelap pandang
Di waktu mata hampir terpejam…
Puisi untukmu…
Tersuratnya adalah ukhwah
Tersiratnya adalah rindu
Namun mana mampu ku mengaku
Kerana segan memenuhi kalbu…
Puisi untukmu…
Walau puisi ini takkan sampai ke tanganmu
Ku tetap mahu kau tahu
Aku rindu padamu…


TIDAK LAGI

Kita tidak lagi sehaluan
Bila setiap perbualan
Diselangi perbalahan…
Kita tidak lagi bersefahaman
Bila setiap perbincangan
Disusuli percanggahan…
Kita tidak lagi seiringan
Bila setiap kali bertentangan
Diakhiri pertelingkahan…
Maka kerana itulah
Kau masih lagi di sana
Sedang aku telah pun di sini…
Bukan kerana marah
Bukan kerana benci
Tapi kerana sayang dan masih menghormati…
Maafkan aku andai kau berkecil hati
Bukan niatku untuk pergi membawa diri
Tapi ku fikir kau perlukan ruang untuk bersendiri…


BILAKU TIDAK LAGI DI SISI

Bilaku tidak lagi di sisimu
Jangan kau fikir aku lari darimu
Bilaku tidak lagi di sisimu
Jangan kau fikir aku tidak lagi mengasihimu…
Bilaku tidak lagi di sisimu
Jangan kau fikir aku tidak lagi mengendahkanmu
Bilaku tidak lagi di sisimu
Jangan kau fikir aku telah mula membencimu…
Kerana…
Bilaku tidak lagi di sisimu
Ianya adalah kerana kau menginginkan begitu…
Bilaku tidak lagi di sisimu
Itu akan lebih membahagiakanmu…
Bilaku tidak lagi di sisimu
Anggaplah ianya pengorbananku buat dirimu…


TIDAKKAH KAU TAHU

Tidakkah kau tahu
Aku terlalu sunyi
Perasaan ini begitu menyeksakan
Bertemankan sepi dan hening malam
Berjauhan denganmu setiap waktu bukanlah kehendakku…
Tidakkah kau tahu
Teriakku memanggilmu
Kesepian ini membuat aku terasa pilu
Betapa aku merinduimu
Inginku mendengar suaramu walau sekejap cuma
Cukup untuk mengubati laraku…
Saat terbenam matahari hingga terbit fajar
Lenaku tak puas
Mimpi indahku tak datang
Resah dan gelisah membalut hiba
Aku tak dapat tidur
Seperti mereka yang kedamaian…
Sepi itu indah
Tapi bukan untukku
Kerana senyap sunyi itulah telah membunuhku
Telah membunuh semangat dan kebahagiaanku
Hingga hujung waktu aku tetap menantimu…


KESUNYIAN

Kesunyian…
Seringkali mengheret beribu imbasan
Rentetan perjalanan suka duka kehidupan
Peristiwa nan silam memberi satu nafas baru
Dalam memperbaiki kesilapan…
Kesunyian…
Seringkali membuat kita berfikir
Dalam menjadi seorang manusia sejati
Hamba ALLAH yang sentiasa bersyukur
Atas nikmat dan segala kesenangan
Anugerah dari yang hakiki…
Kesunyian…
Seringkali mengingatkan diri ini
Akan suasana riang dan gembira
Bersama teman bergelak dan ketawa
Ceria yang mewarnai kehidupan
Tersemat kemas dalam lipatan kenangan…
Kesunyian…
Seringkali membuat diri ini dalam dilema
Untuk menilai erti kehidupan sebenar
Dalam membuat pembaharuan
Yang belum pasti…

 
RINDU SEMAKIN JAUH

Rindu semakin jauh
Bila kasih mula berlabuh
Janji yang diikat teguh terlerai
Dengan waktu yang kian ampuh
Ranting harapan semakin rapuh
Saat keikhlasan mulai runtuh…
Masihkah ada batas-batas mesra
Saat duka datang beraja?
Masihkah ada denai-denai bahagia
Bila sepi hinggap di hati?
Yang pasti…meskipun kita dekat
Namun keakraban itu telah lama terperap
Tiada lagi harap
Dan ku tidak lagi mengharap
Kerana kasihku tidak lagi kau garap…
Mungkin kini kau angkuh
Tapi akan datang
Belum tentu lagi kau kukuh
Pasti suatu hari nanti
Kau akan rasai jatuh
Dan saat itu kau tentu patuh
Pada takdir yang kau
Takkan selalunya jaguh…


KEHILANGAN

Kehilangan…
Aku kehilangan tempat bermanja
Aku kehilangan tempat mengadu
Aku kehilangan teman beradu…
Kehilangan…
Aku tetap merasai kehilangan
Walau hidupku dilimpahi kemewahan
Walau hidupku dikelilingi mereka yang sanggup berkorban…
Kehilangan…
Aku kehilangan insan yang ku sayang
Aku kehilangan insan yang ku rindukan
Aku kehilangan arah dan tujuan…
Kehilangan…
Sehingga kini kehilangan membelenggu kehidupan
Aku kehilangan sesuatu yang telah lama hilang
Yang tinggal hanyalah kenangan dan harapan…


RINDU

Malam yang berlalu
Membuatku rasa sayu
Mengingati dirimu
Tak pernah ku rasa jemu…
Aku rindu…
Rindu padamu
Dan rindu itu membuat hatiku pilu…
Mengenangkan masa lalu
Memori kau dan aku…
Yang tinggal padaku
Hanyalah sehelai baju
Baju yang ada baumu…
Menjadi teman kala beradu
Pengubat rindu dan sendu
Yang sering datang bertamu…


C.I.N.T.A

Cinta…
Indah di penglihatan
Derita di perasaan…
Cinta…
Mempunyai maksud yang berbeza
Tetapi memiliki rasa yang sama…
Cinta…
Agak rapuh untuk dipertahankan
Tetapi…
Agak teguh untuk dirobohkan…
Cinta sandiwara
Adalah cinta sementara
Yang penuh dengan pura-pura…
Cinta sejati
Adalah cinta suci
Abadi untuk selama-lamanya…
Kita takkan mati dengan cinta
Tetapi…
Cinta cukup kuat meracuni hidup kita…
Cinta tidak buta
Tetapi…
Manusia yang bercinta itu membabi buta…
Oleh itu…
Letakkanlah cinta itu
Pada tempat yang selayaknya…
Kerana cinta hadirnya hanyalah sekali
Dan bukannya berkali-kali…
Biarlah yang memiliki cinta kita
Adalah insan yang tahu menghargai
Dan bukannya menjaja cinta kita sesuka hati…


HIDUP

Hidup…
Selagi belum dijemput maut
Maka selagi itulah kita mesti teruskan hidup
Meskipun yang terentang itu adakalanya pahit
Namun pengakhirannya tetap jua terasa nikmat…
Hidup…
Adakalanya sungguh indah
Hingga untuk hidup seratus tahun lagi pun tak mengapa
Sedang kita leka dalam mengejar harta dunia
Bekal ke akhirat kita lupa dan ia tercicir jua…
Hidup…
Sesekali seperti bosan
Mengitari rutin yang memeningkan
Terasa seperti mahu lari ke penghujung alam
Tapi di mana penghujungnya?
Hidup…
Berbahagialah bagi mereka
Yang menghabiskannya dengan sebaik-baiknya
Antara dunia dan akhirat ditimbang tara
Mencipta pahala menghapus dosa
Itulah kehidupan yang sebenarnya…